TIPS Menghadapi Temuduga


sumber : google

        Sebut sahaja temuduga, pasti ramai yang tidak menggemari untuk menghadapinya. Tetapi apakan daya, zaman sekarang ini banyak peluang pekerjaan yang WAJIB kita hadiri temuduga bagi melayakkan diri untuk bekerja di tempat itu. Bukan sahaja untuk pekerjaan, malah hendak melanjutkan pelajaran ke tempat-tempat yang terbaik juga perlu untuk melepasi ujian temuduga terlebih dahulu. Iya lah, mana ada boss atau majikan yang mahukan pekerja atau pelajar yang biasa-biasa sahaja. Sudah tentu mereka mahukan yang terbaik dan mampu memberikan komitmen yang cemerlang.

        Pasti ramai yang mempunyai banyak pengalaman menghadiri temuduga-temuduga pekerjaan mahupun menyambung pelajaran di tempat-tempat tertentu. Tetapi sangat sedikit yang berjaya menawan hati para penemuduga serta menepati ciri-ciri yang diinginkan oleh para penemuduga tersebut. Ya, pasti ramai yang kata “dah itu bukan rezeki kita, nak buat macam mana”. Tapi adakah kita dah berusaha sebaik mungkin semasa menghadapi temuduga tersebut bagi menawan hati para penemuduga ? Jom, saya kongsikan sedikit tips berdasarkan pengalaman saya menghadiri temuduga di beberapa tempat. Tidak mengapa, kita cuba dahulu. Dapat atau tidak, itu belakang cerita. Yang penting adalah kita cuba buat yang terbaik.  

        Pertama sekali, pasti dan sememangnya pasti adalah sediakan dokumen-dokumen serta sijil-sijil yang berkaitan atau yang diminta. Isi segala borang yang perlu dan sediakan resume yang diminta. Jika perlukan salinan-salinan yang telah disahkan, sediakan segera. Cara hendak membuat resume yang berkualiti boleh rujuk di laman-laman web yang tertentu. Search sahaja di Google, pasti keluar. Dunia di hujung jari kan! Dan jangan lupa semak semula tarikh yang dipanggil untuk menghadiri temuduga agar tidak terlepas. PLEASE BE ALERT ! Kemudian, cari maklumat penting tentang option yang kita minta itu. Juga tentang syarikat tersebut. Jangan ambil ringan tentang perkara ini. Disebabkan kita pandang enteng untuk mencari maklumat-maklumat yang penting, alamat terlepaslah pekerjaan tersebut. Antara yang perlu untuk dikaji adalah latar belakang syarikat atau tempat tersebut, nama majikan, cara kerja yang kita minta, latar belakang tentang pekerjaan yang kita minta itu dan seumpamanya. Jadi, bersedialah dengan soalan-soalan yang bakal ditanya agar kita boleh menjawab segala persoalan penemuduga dengan lancar.

        Seterusnya, kawal gemuruh jika anda seorang yang cepat gemuruh apabila menghadiri sesuatu temuduga. Semua orang mempunyai gemuruh yang tersendiri. Ada yang biasa-biasa sahaja tetapi ada juga yang tidak mampu atau lambat untuk mengawal gemuruhnya sehingga panel penemuduga perasan akan kelakuannya seperti menggigil dan sebagainya. Kebiasaannya, gemuruh yang teramat adalah apabila kali pertama dalam hidup kita menghadiri sesuatu temuduga. Tetapi apabila telah berulang kali menghadiri temuduga, gemuruh itu tetap ada cuma kita sudah mampu untuk mengawalnya. Jadi, bagaimana mahu mengawal gemuruh yang berkesan? Haa, ini tips yang saya buat dan berkesan untuk diri saya. Untuk Muslim, sebelum menghadiri temuduga bacalah ayat 1000 dinar serta sentiasa basahkan lidah dengan berselawat dan mintalah daripada Allah agar dipermudahkan segala urusan. Kemudian, semasa menunggu giliran untuk ditemuduga, jadilah ramah sikit untuk bertegur-sapa dengan orang-orang sebelah serta bertukar informasi tentang maklumat-maklumat yang diperolehi. Dan tarik nafas dalam-dalam then hembus dengan tenang. InshaAllah menjadi. Cubalah try.

        Tips yang seterusnya, okay tentang pakaian. Ini semua orang maklum. Pakaian mestilah yang bersesuaian dan formal mengikut apa yang telah ditetapkan oleh syarikat atau tempat pekerjaan tersebut. Jangan nanti ada pula yang memakai pakaian tidur sudah. Tapi setakat ni belum ada lagi yang buat lah kan. Confirm reject terus. Baiklah, zaman sekarang bahasa Inggeris tersangatlah penting untuk diambil berat. Jadi, suka atau tidak kita mestilah membuat persediaan yang secukupnya untuk menguasai bahasa International ini agar tidak terkedu serta tergamam apabila disoal oleh panel penemuduga dalam bahasa Inggeris. Tak semua orang mahir bercakap dalam bahasa ini, tetapi kita mestilah tunjukkan keyakinan diri bahawa kita juga mampu untuk bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun tatabahasanya kurang tepat. Jadi, persiapkan diri dengan berlatih dalam 5 hingga 10 minit untuk bertutur dalam bahasa Inggeris agar lebih berkeyakinan apabila disoal oleh penemuduga.

        Ya, keyakinan. Apa yang para penemuduga mahu lihat dalam diri calon adalah sejauh mana keyakinan yang ada dalam diri setiap calon itu. Bagaimana mahu tunjukkan keyakinan diri kita pada panel? Bagaimana nak tawan hati panel agar dia yakin dengan diri serta kebolehan kita? Panel akan menilai diri kita sebaik sahaja kita mula memperkenalkan diri kita. Jadi, sebaik sahaja kita mula bertutur pastikan gemuruh dalam diri telah kebah. Mulakan pertuturan dengan lancar dan smooth sahaja dan tidak perlu tergopoh-gapah serta jangan tergagap-gagap semasa bertutur. Pastikan apa yang kita mahu cakap itu sudah tersedia dalam otak. Kemudian, pastikan kita menjawab persoalan panel dengan terang dan jelas. Seandainya kita tidak mampu menjawab persoalannya yang berbentuk fakta, usah kita reka fakta kita sendiri. Sebaiknya, jujur sahaja kepada panel bahawa anda tidak tahu. Dan apabila ditanya tentang sesuatu pendapat, kerahlah otak anda dengan memberikan idea-idea yang bernas serta yakin bahawa idea itu mampu menarik hati panel untuk memilih anda.

        Baiklah, yang ini paling penting. Bagi saya, mungkin tak ramai yang melakukannya tetapi pasti ada segelintir yang mungkin tanpa sengaja telah melakukannya. Apabila kita kurang faham atau tidak dapat menangkap soalan yang diajukan oleh panel, tolong jangan sesekali kita buat muka blur ataupun menggaru kepala yang tidak gatal. Seeloknya, berterus-teranglah kepada panel agar mengulangi semula soalan yang diajukan. Di situlah panel menilai bagaimana sikap kita apabila kita bekerja di syarikatnya suatu hari nanti. Jadi, apa pun yang ditanya oleh panel, sentiasalah berada dalam keadaan sedia dan tersenyum. Seterusnya, sebelum bersurai daripada bilik temuduga, ucaplah terima kasih kepada panel tersebut sebagai tanda hormat serta bersalam dengan yang bersamaan jantina.

       Temuduga adalah syarat untuk kita berkhidmat di sesuatu tempat. Setiap majikan pasti mahu yang paling terbaik untuk syarikatnya. Jadi, tunjukkanlah kepada mereka bahawa kita mampu untuk memberikan komitmen yang cemerlang bagi memajukan lagi syarikat mereka di persada antarabangsa. Memang betul, banyak syarikat atau tempat kerja yang memerlukan pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja. Tetapi, tidak salah untuk kita tunjukkan keyakinan diri kita dengan meyakinkan mereka bahawa kita mampu untuk memberikan komitmen yang cemerlang di tempat mereka. Tidak semestinya orang yang banyak bercakap itu berjaya menarik hati panel akan tetapi kita jadilah insan yang professional yang bukan hanya berkata-kata kosong tetapi penuh dengan fakta-fakta serta ilmu yang dipelajari dalam setiap aspek kehidupan. Jadi, cubalah yang paling terbaik dengan usaha-usaha yang dilakukan serta berdoalah kepada-Nya. 
     

Comments

Popular posts from this blog

Apa itu Sijil Tinggi Agama Malaysia a.k.a. STAM ?

Temuduga Kaunseling UUM 2018

Interview IPG (Bahasa Arab) 2017